Monday 23 September 2013

Sabtu yang cerah

Teks : Radziah Mansor
Foto : Koleksi Peribadi

Pada pagi sabtu yang lalu , saya dan suami merancang untuk melakukan aktiviti luar bersama anak-anak. Setelah 5 hari bekerja dan anak -anak berulang alik ke sekolah, tanpa aktiviti luar.Pernah saya terbaca dalam sebuah buku pendidikan anak - anak mengatakan bahawa kanak - kanak akan lebih cergas apabila berada di luar rumah berbanding terkurung di dalam rumah.

 Sejak awal 6 pagi seusai solat subuh saya membuat persiapan untuk kami berkelah di Pantai Tanjung Aru. 
Huda dan Uswah sudah tidak sabar hendak berkelah


Rancangan asal untuk mengadakan perkelahan seringkas mungkin. Tapi, berkelah bersama dua orang anak yang sedang membesar persiapannya mengalahkan orang ingin berperang.Pakaian mandi, makanan, barang mainan dan macam lagi. Kalau boleh semua mainan di rumah hendak di bawa bersama. Heheheh. Akhirnya saya hanya membawa sandwich, cereal, dan minuman panas untuk kami berkelah. Alhamdulillah, ala kadar. 

Sampai di Pantai Tanjung Aru, kami mulakan aktiviti membina 'Istana Pasir' walaupun kakak Huda sudah tidak sabar merayu pada abi untuk mandi laut. Aktiviti ni dapat merangsang koordinasi mata dan tangan anak -anak. Apabila buat aktiviti ini kakak Huda dan Uswah dapat melatih daya konsentrasi mereka. Cuba lihat dalam gambar, asyik betul mereka bermain pasir.

Alhamdulillah, sekarang ini adik tidak takut lagi pada pasir pantai. Dulu jangankan hendak pegang pasir, apabila dibukakan kasutnya pun mulalah dia meraung sekuat hatinya. 

Selepas lebih kurang 15 minit bermain pasir, abi mengajak anak-anak bermain bola bersamanya.Kemudian dikuti dengan mandi manda di kawasan yang cetek di bawah pengawasan abi.

Bermain adalah fitrah bagi kanak -kanak. Melalui bermain mereka belajar. Sikap dan emosi mereka juga terbentuk ketika bermain. Ketika bermain mereka akan menggunakan segala pancaindera dan kemahiran motor mereka. 

Catatan Ummi.
Huda dan Uswah teruskan bermain! Moga dengan bermain anakanda - anakanda dapat belajar perkara yang baru dari aktiviti tersebut.
Ilmu Allah ini luas, seluas pemandangan lautan yang kita lihat. Ilmu yang kita ada hari ini hanyalah setitis air di lautan.

UmmuHuda


No comments:

Post a Comment